Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, January 16, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 21


             Cerita aku dipukul Hazriq telah tersebar. Walaupun tidak seluas mana, tetapi sederet butik aku telah mengetahuinya. Namun aku tetap berterima kasih kepada Abang Ghani pemilik butik Al-Ikhsan itu. Pagi tadi aku telah menghadiahkannya kek yang dibeli dari Secret Recipe. Lelaki itu sangat bersimpati atas nasib yang menimpa aku seminggu lalu. Dua hari aku di hospital sehinggalah aku pulang ke rumah, Syaza terpaksa menguruskan butik seorang diri. Ada juga Mama Anis datang membantu dalam sehari dua. Itupun apabila Syaza tak menang tangan untuk menyiapkan kerja yang tertangguh.

            Aku hanya berehat dirumah sehingga badan terasa ringan sedikit. Daddy dan Mama Anis juga telah mengetahuinya. Puas aku dileteri buat pertama kalinya oleh Daddy. Masalah sebesar itu aku sembunyikan daripada dia? Memang mengamuk juga Daddy dibuatnya. Malah pertunangan aku dan Hazriq juga telah putus secara rasminya apabila Daddy sendiri menelefon Puan Jamaliah pada hari aku pulang ke rumah. Walaupun bercakap dengan cara berhemah, tetapi aku tahu Daddy amat marah. Sampaikan Aina dan Puan Jamaliah ingin datang melawat aku pun tidak dibenarkannya.

            “Akak betul rasa dah sihat ni? Nampak pucat aje.” Syaza memegang bahuku.

            Aku mengangkat kepala memandang tepat anak matanya. “Akak tak make up. Malas. Tapi badan akak dah sihat. Pergilah tolong siapkan hantaran untuk minggu ni. Bising Datok tu nanti.”

            Syaza mengangguk dan terus berlalu ke bahagian depan. Aku pula meneliti buku log yang sekian lama tidak dipandang. Tidak sabar untuk menyelesaikan tugas agar dapat bercuti panjang. Ada lagi empat majlis perkahwinan yang perlu diuruskan. Semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk melakukan tugas. Orang dah bayar, kenalah melakukan kerja dengan baik. Aku tidak mahu mengecewakan raja-raja sehari yang telah memberikan sepenuh kepercayaan padaku untuk merealisasikan hari bahagia mereka.

            Buku log aku tutup dan aku simpan semula. Aku bangun dan menuju ke dapur. Niat dihati ingin membancuh secawan Horlicks.

            “Akak!”

            Aku pantas menoleh. “Ye?”

            “Daddy akak datang.” Syaza menudingkan jarinya.

           Aku meletakkan gelas di atas kabinet dan terus mengatur langkah menuju ke depan semula. Kelihatan Daddy datang seorang diri sambil membawa bungkusan plastik bersamanya. Aku menghadiahkan sebuah senyuman termanis buat Daddy.

            “Dean tak makan pagi tadi, kenapa?” Soal Daddy dengan wajah yang sedikit tegang.

            “Mama Anis bagitahu?” Soalku pula tidak menjawab soalannya.

            Daddy mengangguk. Bungkusan plastik ditangannya dihulurkan kepadaku. “Makanlah. Daddy belikan nasi lemak untuk Dean dan Syaza sekali.”

            Hulurannya aku sambut. “Terima kasih…” Perlahan suaraku sayu.

            Perasaan bersalah makin menggunung apabila Daddy semakin mengambil berat. Walaupun Daddy marah dan berkecil hati aku tidak berkongsi masalah itu dengannya selama ini.

            Tubuhku dirangkul erat. Seeratnya. Ubun-ubunku dikucup penuh kasih. Kasih seorang bapa yang tidak pernah berbelah-bahagi buat permata hatinya. “Jaga diri, sayang. Daddy tak akan maafkan diri kalau apa-apa jadi pada Dean.”

            “Bukan salah Daddy.” Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

            “Dean bawah tanggungjawab Daddy. I love you sayang…Ingat lepas ni apa-apa semua kena cerita pada Daddy. Janji?” Daddy mengangkat jari kelingkingnya.

            Aku tersenyum senang. “Janji.”

            Jari kelingking kami bertaut rapat. Senyuman mekar di bibir masing-masing. Syaza juga yang memerhati dari jauh turut tersenyum sambil tangannya sibuk menggubah telekung untuk diletakkan di atas dulang hantaran.

            “Syaza, nanti makan dengan Dean. Uncle balik dulu. Ada apa-apa, cepat call uncle.” Pesanan Daddy sebelum keluar dari butik.

            Syaza mengangguk dan tersenyum lebar. Aku melambai kearah Daddy sebelum susuk itu hilang dari pandangan. Kemudian bungkusan nasi lemak aku keluarkan dari dalam plastik. Aku cium harumannya. Sedap!

            “Syaza, jom makan dulu. Akak buatkan air sekejap.” Panggilku dan terus beredar semula menuju ke dapur.


                                                ********************************


I dah dengar apa yang berlaku pada you.

            “I dah okey.” Senyuman terukir dibibir.

            “Tunang you memang teruk! Takut I  nak percayakan lelaki.”

            “Bukan semua lelaki sama Molly. You nak jadi nyonya tua ke?”

            Gadis itu menggeleng laju. “Tak mau, tak mau. Tapi I betul takut tengok video itu pada Ghani. Memang gila punya orang.”

            “Sekarang dah jadi kes polis. I tak nak fikir lagi pasal dia.”

            Molly mengangguk. “You sudah putus tunang sama dia?”

            “Tentulah. Siapa mahu tunang macam tu?” Aku menayangkan senyuman kelat.

            “Bagus, bagus. Okeylah, I datang nak bagi you buah. Take care Dean. Nanti you pasti jumpa lelaki yang baik punya.” Molly menjuihkan bibirnya yang merah kearah bakul buah-buahan yang dibawanya sejak tadi.

            “Thanks Molly.” Aku membelek seketika bakul buahan yang agak besar itu. Pelbagai jenis buah terdapat di dalamnya. Siap ada reben lagi.

            “I balik dulu I punya kedai. Senang-senang you datanglah.” Molly meminta diri.

            “Okey, thanks again.” Aku mengangguk dan berjabat tangan dengannya.

            Molly pemilik kedai barangan cenderahati yang terletak dua lot dari butik aku. Seorang gadis yang berusia pertengahan tiga puluhan dan masih belum berkahwin. Kami jarang dapat bersua muka kerana kesibukan masing-masing. Lagipun Molly jarang turun padang kerana terdapat perniagaan lain yang diuruskannya. Tetapi dia tetap menunjukkan sikap kejiranan apabila datang melawat aku.

            “Syaza, nanti bawak balik buah-buah ni sikit. Simpan kat rumah confirm tak habis.” Aku memandang sekilas kearah Syaza yang masih tekun menyiapkan kerjanya.

            “Entah-entah itu buah dia buat sembahyang kut?” Syaza tergelak besar.

            Aku mengerutkan kening. “Ish, ada pulak. Buah ni dia beli dah siap berhiaslah kat kedai. Boleh makan punya…”

            “Tahulah, saya saja bergurau.” Syaza tersengih menunjukkan muka tak bersalah.

            Aku tersenyum kecil dan kembali menyusun pakaian yang belum digantung mengikut warna baju. Selain itu aku meneliti terlebih dahulu setiap pakaian jika ada terdapat kerosakan seperti koyak dimana-mana. Maklumlah kadang-kadang pengantin pun agak ganas. Sibuk bergambar ke, apa ke, tak sedar kainnya tersangkut dimana-mana. Perkara sebegitu pernah terjadi.

            Leka aku membuat kerja sehinggalah petang. Itu pun setelah ditegur oleh Syaza baru aku tersedar jam sudah menunjukkan angka lima setengah petang. Segera aku berkemas dan bersiap-siap untuk pulang.

            “Kak Dean balik dengan Syaza kan?” Syaza duduk menunggu sambil memeluk beg tangannya.

            “Akak rasa nak call mama aje datang jemput. Syaza baliklah dulu.” Aku mengambil duit yang berada di dalam laci untuk dimasukkan ke dalam peti besi.

            “Balik dengan Syaza ajelah kak. Macam tak biasa pulak.” Syaza mencebikkan bibirnya tanda merajuk.

            “Sekejap.”

            Beberapa minit kemudian, kami telah berada di hadapan untuk mengunci pintu butik. Aku berdiri di belakang Syaza sambil memerhati keadaan sekeliling. Setelah selesai, kami beriringan menuju ke kereta.

            “Assalamualaikum.”

            Aku terkejut dan sepantas kilat menoleh. Namun hanya mampu menjawab salam di dalam hati. Tidak terluah di mulut kerana melihat senyuman semanis madu di hadapan mata. Namun segera aku melarikan wajah apabila sepasang mata itu mengecil meneliti raut wajahku yang sedikit pucat.

            “Saya dah nak balik ni. Awak buat apa kat sini?” Aku memandang Syaza sekilas memberi isyarat agar tunggu sebentar.

            “Saja datang melawat. Err…kenapa dengan muka awak? Itu…kesan lebam kan?” Jari telunjuknya menuding kearah pipi kiriku.

            Aku menarik rambut menutupi sebahagian pipi. “Eh, taklah.”

            Mata lelaki itu semakin mengecil. Menganalisa seperti seorang detektif. “Kat dagu ni apa? Luka?” Jarinya beralih pula pada tepi daguku sehingga hampir-hampir untuk menyentuh.

            Aku berundur setapak ke belakang. “Biasalah mak andam. Buat kerja berat.”

            Aku ketawa kecil semasa menuturkan ayat tersebut. Namun setelah terasa janggal ketawa seorang diri, aku terdiam. Mata Asmara masih terpaku pada seraut wajahku yang bertanda sana-sini. Nasib baik tak macam papan tanda. Aku yakin aku masih ayu buat tatapannya. Eleh!

            “Asmira, apa dah jadi? Bagitahu saya, please…” Rayunya sambil menjeling sekilas pada Syaza yang setia menanti.

            “Kenapa dengan bos awak ni? Dia kena pukul?” Asmara bertanya pula pada Syaza.

            Syaza hanya terdiam dengan mata yang berkelip beberapa kali. Mati kata untuk menjawab. Apatah lagi tuan punya badan sendiri tidak memberikan sebarang jawapan.

            “Cik Dean okey? Ada masalah lagi ke?” Tiba-tiba Abang Ghani datang dengan dua orang pekerja lelakinya. Siap bawa kayu hoki! Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga akibat peristiwa tempoh hari.

            “Eh, saya tak apa-apa Abang Ghani. Ini kawan sekolah saya dulu.” Jawabku sambil kehadapan untuk melindungi tubuh Asmara.

            Abang Ghani tersengih menggaru kepalanya. Dia menghulurkan salam kepada Asmara. “Maaflah, abang ingat orang suruhan tunang Cik Dean ke. Mana tahu kejadian hari tu berulang lagi.”

            “Kejadian apa?” Soal Asmara penuh rasa ingin tahu.

            “Cik Dean kena pukul dengan tunang dia. Teruk juga sampai masuk hospital. Nasib saya sempat rakam dan buat laporan polis. Maaf sekali lagi ye saudara. Saya bawa kayu ni untuk keselamatan. Rasa bersalah juga hari tu tak dapat nak halang lelaki tu. Badan dia sasa.” Abang Ghani tersengih-sengih setelah membocorkan rahsia aku.

            Memang tidak dapat menahan mulut Abang Ghani yang lancar berkata-kata itu. Aku hanya menelan liur dan memandang wajah Asmara yang telah berubah riak. Setelah bersalaman sekali lagi, Abang Ghani dan ‘konco-konconya’ pun beredar masuk semula ke dalam kedai.

            “Asmira…” Suara itu perlahan dan sayu. Tangannya naik menyentuh pipi dan daguku yang masih berbekas.

            “Berikan saya satu lagi peluang. Untuk membahagiakan awak, Asmira.” Ayat itu berbisik lembut.

            “Maaf, I have to go.” Aku berpaling dan membolos masuk ke dalam perut kereta.

            Membiarkan Asmara yang berdiri tegak sambil memerhatikan aku. Maaf, aku tak mampu untuk berani. 

               Berani sekali lagi untuk mengambil risiko bersamanya….

5 comments:

Unknown said...

Nampaknya Dean belajar dari pengalaman pahitnya supaya tidak mudah percaya pada lelaki dan memendam perasaan.

Anonymous said...

Salam... Akhirnya, umurxserupa31 dah kuar dari senarai papan bursa saham.. eh.. silap.. silap.. dari hidup Dean!! Padan muka mamat dayus tu!! Buat puan penulis, i loike ur style of writing.. keep it up!!

Anonymous said...

bgus btol si hazriq dah xde dah..huhuhu..akak sua cpt yerw smbung..heheh..xsbar nk tau slepas ni pe yg jadi....


~KD~

Anonymous said...

waaaaaaaaaaaa best nya!!!

Shizukaz Sue said...

thanks semua ye...saya baca semua komen anda tetapi kekangan masa membataskan utk membalas satu persatu...insyaallah utk next entry..muah muah love u alls..