Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, September 10, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 12


          Aku mencapai beg tangan di tempat duduk sebelah pemandu. Dengan rasa serba salah aku akhirnya turun dari perut kereta. Pintu kereta kututup dan aku menekan punat kunci. Kemudian aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Langkah kaki kuhayun menuju kearah seseorang yang sedang duduk menghadap tasik buatan manusia ini. Betul ke tindakan aku untuk berjumpa dengannya?

            “Assalamualaikum,” ujarku memberi salam sebagai pembuka bicara.

            Lelaki itu tersenyum hambar dan membuat isyarat agar aku duduk di sebelahnya. Aku turuti dan melabuhkan punggung di kerusi batu sambil mata tidak lepas menatap matanya. Rindu barangkali. Namun nafasku biasa sahaja. Tidak turun naik seperti dulu-dulu apabila mata kami saling bertemu.

            “Waalaikumsalam. Sayang apa khabar?” Dia masih memerhatikan aku. Matanya masih bersulam rasa cinta. Aku dapat melihatnya dengan jelas. Aku bukanlah buta tidak tahu menilai.

            “Baik. Awak pula?” Aku membuang pandang ke tengah tasik. Tidak sanggup menatap mata redup itu.

            “Sihat macam biasa. Cuma hati aje tak sihat.” Nada suaranya kendur.

            Aku menoleh sekilas. “Janganlah macam ni Adli. Kita dah janji kawan sampai bila-bila. Jodoh saya sampai dulu, awak kena terima.” Ayat yang sebenarnya untuk menyedapkan hati sendiri aku tuturkan.

            Adli menggelengkan kepalanya. “Tapi saya rasa berdosa…” Luahnya perlahan. Ada getaran disitu.

           “Berdosa? Saya tak faham.” Soalku pula. Berkerut dahiku mendengarkan luahan Adli. Sememangnya aku tidak mengerti apa maksudnya.

            Adli membetulkan duduk menghadapku. Bahuku dipagut lembut agar aku turut menatapnya. “Saya berdosa kerana tak mampu selamatkan awak sayang…tak mampu melindungi awak…dan paling saya kesal saya tak mampu untuk menikahi awak…” Ayat yang keluar dari mulut Adli membuatkan airmataku bergenang.

            Hati aku pilu. Pedih. Cukup Adli. Cukup! Laungku di dalam hati. Aku terasa tidak layak disayangi sebanyak itu kerana aku menghukum Adli selama ini tanpa memikirkan perasaannya. Aku terlalu mementingkan kehendak sendiri dan tidak berkompromi dengan Adli. Aku kejam!

            “Sayang jangan menangis. Kalau sayang tak bahagia sekalipun, sayang boleh berpisah dengan dia. Saya tetap ada…” Bicara Adli membuatkan airmataku semakin laju menuruni pipi.

            Aku meletakkan jari dibibirnya. Tidak mahu dia berkata-kata. Namun diambilnya lembut jari aku dan digenggamnya kemas.

            Adli mula menyambung kata. “Sayang jadi janda pun, saya tak kisah langsung. Kita tetap akan kahwin pada umur dua puluh lapan tahun.” Ucapnya tetap lembut seperti tadi.

            Aku tersenyum sumbing sambil menyeka air mata di pipi. Malu andai dilihat oleh orang yang lalu-lalang di tasik ini. “Dua puluh lapan?” Soalku sambil mengerutkan dahi.

            Adli mengangguk lemah.

            “Masa tu Fitri adik bongsu saya tentu dah habis SPM. Bermakna kelima-lima adik saya semuanya dah habis sekolah pada umur saya dua puluh lapan tahun. Boleh saya fikirkan masa depan saya bersama sayang pula.” Terang Adli.

            Makin basah mata ini mendengarkan penjelasan Adli. Sesungguhnya mulia hati Adli dalam memikul tanggungjawabnya kepada keluarga. Hanya aku yang sengaja membutakan mata, mentulikan telinga tentang Adli. Kenapa keras sangat hati aku….Ya Allah….

            Bukan aku tidak pernah ke rumah Adli. Sememangnya mereka hidup secara sederhana. Ibunya mengambil upah menjahit baju manakala ayahnya pula sering bertukar-tukar kerja. Hutang Ah Long pula keliling pinggang walaupun Adli dan ibunya tidak tahu kemana ayahnya berbelanja duit tersebut. Mujur Adli mempunyai gaji yang agak besar. Dengan duit gajinya dia menampung keperluan mereka sekeluarga dan menyekolahkan adik-adiknya. Adli sangat berjimat-cermat dan pastinya dia belum mampu mengumpul duit untuk berkahwin denganku.

            “Oh…” Sepatah jawabku.

Aku menyeka lagi air mata dengan tangan. Namun semakin laju pula ia membasahi pipi tanpa dapat ditahan. Aku membuka zip beg tangan dan mengeluarkan tisu. Aku menekapkan tisu di kelopak mata, pipi dan hidung.

Adli sekadar memerhati. Kemudian dia mencapai kembali tanganku. Jari-jemari kami bertaut lama. Suasana sunyi untuk seketika. Janggal dan kekok aku rasakan mungkin aku memang sudah agak lama tidak bertemu dengannya. Malah pertemuan kali ini mungkin yang terakhir sebelum aku sah menjadi hak mutlak lelaki lain.

“Dia mesti kacak kan?” Soalan Adli benar-benar buat aku terkejut.

“Hah?” Aku bertanya walaupun aku dengar dengan jelas pertanyaannya tadi.

“Saya tanya, calon suami sayang tu mesti kacak kan?” Adli mencuit hidungku mesra.

Aku tersenyum. Teringat zaman sekolah yang penuh dengan coretan kenangan aku bersama Adli. Zaman yang tidak memeningkan seperti sekarang.

“Tidak semaskulin awak…” Aku menghadiahkan senyuman manis padanya.

“Dia anak orang kaya.” Adli berkata lagi sambil melepaskan keluhan berat.

“Dia pilihan mak dan ayah.” Bidasku pula.

“Kalau dia layan awak tidak baik, let me know.” Adli merenung tepat ke dalam anak mataku.

Aku tersenyum lagi sambil mengangguk. “Thanks for everything. I still love you.” Ucapku malu-malu. Erk! Perlu ke saat ini mengucapkan kata-kata cinta? Aku sepatutnya mengucapkan ucapan selamat tinggal buat Adli.

“Saya tetap doakan sayang bahagia. Dah kahwin nanti tetap belajar rajin-rajin tau! Saya nak tengok sayang berjaya.” Adli berkata lagi. Matanya pula dilarikan melihat orang yang sedang berjongging di sekitar tasik ini.

Aku yakin Adli sedang cuba melepaskan aku. Perkara ini pastinya bukan mudah untuk dia. Tidak seperti aku yang seakan-akan telah melepaskannya semasa permintaanku untuk bertunang dulu ditolak. Namun andai saat ini aku harus memilih antara Hadif dan Adli sudah pasti Adli menjadi pilihan hatiku. Apalah daya lagi. Nasi sudah mejadi bubur. Aku sendiri terjerat dengan perpisahan yang aku cipta antara aku dan Adli. Padan muka aku.

            Aku menarik nafas dalam-dalam. “Kenapa awak baik sangat pada saya? Langsung tak marah atas perbuatan saya selama ni.” Tuturku lagi.

            “Sebab saya ikhlas mencintai awak, sayang. Walau dalam keadaan apa pun.” Jawab Adli jujur.

            “Andai benar kita tiada jodoh sampai bila-bila, saya doakan awak jumpa gadis yang lebih baik dari saya okey.” Balasku pula sambil memandang wajahnya.

            Senyuman kami bertaut. Begitu juga pandangan mata yang mengasyikkan seperti mengembalikan kami ke dunia percintaan yang dulu. Biarlah, desis hatiku. Izinkan aku menikmati cinta pertama ini buat kali yang terakhir. Walaupun berkahwin dengan Hadif bukan atas kemahuan aku, tetapi aku bukanlah orang yang buta tentang hukum agama. Menjadi isteri orang atas sebab apa pun tanggungjawab serta batas yang perlu aku patuhi tetap tergalas dibahu. Melainkan andai jodoh itu tidak kekal lama bertahan. Mungkin aku akan pulang ke pangkuan Adli apabila masa itu tiba. Apa kau merepek Aida Nasuha? Belum pun bernikah kau dah terfikir hal cerai-berai? Semua orang nak kahwin sekali aje seumur hidup!
            

4 comments:

Unknown said...

baiknya adli...untung dapat suami mcm tu..kesian aida nasuha

Anonymous said...

mintak2 suami saya sbaik adli :) berangan jap, tersentuh lak baca yang ni akk

mohd said...

Waa..touching adli nih, watak2 ada sifat sy plak, cehh!

hotfingaz said...

:)..